Thursday 22 November 2012

Jejak 25 : Mari mengenali dialek Hulu Terengganu



Hulu Terengganu dikenali sebagai FO-LO-AN sejak abad ke 12 lagi berdasarkan buku sejarah Cina bernama “Ling Wai-Tai Ta” karangan Cau-Cu-Fei pada tahun 1178. Pada masa itu daerah ini adalah sebagai bandar pelabuhan yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari segenap pelosok alam Melayu, Timur Tengah dan China bagi menjalankan kegiatan ekonomi. Ahli-ahli sejarah berpendapat negeri Foloan yang disebut dalam buku tersebut ialah Kuala Berang.




Bagi jejak kali ini, saya hendak mengajak pembaca semua mengenali dialek Hulu Terengganu. Sebutan dialek Hulu Terengganu hampir kepada sebutan Bahasa Melayu Induk dan Bahasa Austronesian Kuno. Dialek ini memungkinkan teori bahawa dialek ini merupakan dialek yang paling asli dan paling tua di Semenanjung Tanah Melayu. Pada tahun 1935, C.C.Brown menerbitkan tulisannya, Terengganu Malay. Dia berpendapat bahawa daripada segi pembunyian dan tata ujaran, percakapan di Hulu Terengganu sangat berbeza dengan bahasa di daerah lain di Terengganu. Beliau menyifatkan unsur kosa kata Hulu Terengganu sebagai unsur yang tua. Bentuk kuno pada dialek Hulu Terengganu juga wujud pada pantai Borneo Utara, Kepulauan Maluku, Pergunungan Sumatera Selatan dan Gugusan Kepulauan Thailand. Ini menyangkal pendapat bahawa unsur kuno dialek Hulu Terengganu merupakan unsur pinjaman dari kawasan tersebut memandangkan kedudukannya yang jauh dari Hulu Terengganu.



Contoh Dialek Hulu Terengganu :

1.  Apauh = Tenggelam
2. Larai = lari
3. Jagaung = Jagung
4. Sudauk = membalikkan tanah dengan sodok
5. Balaik = Pulang, balik
6. Akaw = Aku
7. Su' su' = akhir sekali
8. Ruhok = sangat sukar
9. Hambak = sentiasa memburu
10. S:awai = sawi
11. Tek le = itu juga
12. Menatang = Binatang
13. Keliraik = Cenkerik
14. Tak mboh bui gogeh = Tak mahu bagi bergoyang
15. Sayup mengelor anok dok balaik = sayup memanggil anak tak balik.
16. Awang = panggilan manja untuk anak lelaki

Untuk mengenali lebih dekat mengenai dialek Hulu Terengganu ini, marilah kita sama-sama dengar sajak dalam dialek Hulu Terengganu ini.




Kesimpulan :


Secara kesimpulannya, dialek Hulu Terengganu ini membuktikan bahawa wujudnya dialek ini tanpa disedari oleh ramai pihak, hanya di ketahui oleh masyarakat di Terengganu sahaja. Retensi dan inovasi dialek Hulu Terengganu sangat penting dalam menentukan sejarah perkembangan bahasa malayu amnya (Collins 1981). Tambahan lagi, kesedaran kita tentang kerencaman fonetik dan morfologi sesuatu dialek amat bermanfaat dalam menentukan arah pengajaran Bahasa Malaysia.