Friday, 28 September 2012

Jejak 4 : Bahasa Rojak

Apa yang dimaksudkan dengan Bahasa Rojak? Bahasa Rojak ialah suatu jenis percakapan di Malaysia yang mengalami pertukaran kod ( mencampurkan pelbagai bahasa dalam sesuatu pertuturan ).


Walaubagaimanapun, bahasa dasarnya ialah Bahasa Melayu. Kebiasaanya, bahasa rojak ini digunakan dalam kalangan remaja. Keadaan ini semakin bertambah parah dan pihak kerajaan telah menggesa rakyat Malaysia supaya menggunakan Bahasa Melayu dengan betul terutamanya dalam sektor swasta serta tidak menggalakkan penggunaan bahsa rojak dalam sektoh tersebut. Contohnya, pihak TV3 telah menukar nama Karnival Sure Heboh menjadi Karjival jom heboh disebabkan kebimbangan orang ramai dalam menggunakannya.



 Antara contoh-contoh bahasa rojak dalam kalangan masyarakat ialah: 

 
 1)Bahasa Melayu  + bahasa Inggeris
-kau memang terror(hebat) la!
-tempat makan ni best(bagus)sangat!

2)Bahasa Melayu + bahasa Cina

-nak makan sini ke nak tapau(bungkus)?
-apasal(kenapa)lu buat kerja ini cincai(tak sempurna)?


3)Bahasa Cina + bahasa Inggeris

-can meh?that one can like that meh?(boleh berbuat begitukah?)


4)Bahasa Melayu + bahasa Cina + bahasa Inggeris

-eh boss,after makan ah,we'all go mabuk,want or not,on in a while only mah,taikah happy mah,ok.(pengurus,selepas makan kita semua pergi minum arak beramai-ramai,mahukah?sekali-sekala sahaja untuk bergembira.





Jejak 3 : Penggunaan Kata Sendi Nama Secara Tidak Formal

Bagi catatan kali ini, saya ingin memperkatakan tentang penggunaan kata sendi yang salah di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Pada hari ini, saya telah pergi ke pasar Tanjung Malim untuk membeli barangan dapur. Di sana saya melihat ramai orang membeli belah. Semasa saya sedang asyik mencari barang yang perlu dibeli, tiba-tiba saya terdengar perbualan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Lelaki itu bertanya kepada perempuan, "awak tinggal kat mana?". " Saya tinggal kat Bahtera Arked." jawab perempuan tersebut. Hanya bait-bait ayat tersebut sahaja yang dapat saya tangkap. Penggunaan "kat" dalam ayat tersebut merupakan kesalahan penggunaan Kata Sendi Nama. Sepatutnya penggunaan Kata Sendi Nama "di" digunakan menggantikan perkataan "kat" di dalam perbualan tersebut.






Kesalahan : Awak tinggal kat mana?
Pembetulan : Awak tinggal di mana?


Kesalahan : Saya tinggal kat Bahtera Arked.
Pembetulan : Saya tinggal di  Bahtera Arked.







Diantara ayat-ayat lain yang saya dengar melalui perbualan dalam kalangan masyarakat ialah:

Kesalahan : Topi itu kat saya.
Pembetulan : Topi itu ada pada saya.

Kesalahan: Tolong kirim salam kat Ahmad.
Pembetulan : Tolong kirim salam kepada Ahmad.


Thursday, 27 September 2012

Jejak 2 : Kesalahan Penggunaan Hukum D-M


Untuk catatan kali ini, saya ingin mendedahkan kesalahan penggunaan Hukum D-M yang berlaku di sekitar masyarakat kita. Hukum DM ialah  unsur yang diterangkan (benda) perlu mendahului unsur yang menerangkan (sifat). Contohnya seperti goreng pisang, Restoran Sumayyah dan lain-lain. 



Gambar disebelah merupakan sebuah papan tanda yang bertulis "Asma Rojak Pasar Tani". dalam papan tanda tersebut terdapat penggunaan hukum D-M yang salah iaitu 'Asma Rojak'. Perkataan yang sepatutnya ditulis ialah Rojak Asma kerana perkataan 'Rojak' merupakan perkara yang ingin diterangkan dan 'Asma' merupakan perkara yang menerangkan rojak tersebut.




Beberapa keping contoh gambar-gambar lain yang menunjukkan penggunaan Hukum D-M yang salah seperti di bawah:

  

Ayat yang sepatutnya ditulis dalam gambar di atas ialah Gerai Laksa Kak Ani.





Restoran tersebut sepatutnya dinamakan Restoran SZ jika mengikut hukum D-M.

Akan tetapi, terdapat juga pengecualian dalam hukum D-M iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan. Hal ini demikian berlaku akibat kebiasaan dalam penggunaan, terutama pada mana-mana jawatan antaranya ialah  seperti perdana menteri, timbalan menteri, naib presiden, naib canselor, ibu pejabat dan pembantu penyelidik.






Wednesday, 26 September 2012

Jejak 1 : Penggunaan Kata Ganti Nama Diri "AKU"


Pernahkah kamu membahasakan diri sebagai aku apabila bercakap dengan orang yang lebih tua daripada kamu? Kalau pernah, apakah reaksi orang tersebut setelah kamu membahasakan diri kamu sebagai aku? Saya yakin sudah tentu orang tersebut akan menganggap anda sebagai seorang yang kurang ajar, biadap dan tidak hormat akan orang tua. Hanya kerana istilah 'aku' telah menggambarkan kita sebagai seorang yang kasar dalam percakapan. Tetapi pernahkah kita terfikir mengapa kita menggunakan istilah aku untuk membahasakan diri semasa kita berdoa kepada Pencipta kita. Sebagai contoh:

                     " Ya Allah..Aku memohon kepada-Mu agar diampunkan segala dosa-dosaku"



Cuba kita bayangkan jikalau kita menggunakan perkataan saya dalam doa, tidakkah kita merasa janggal untuk menggunakan istilah tersebut. Tidakkah diri kita merasa jauh kepada Pencipta kita apabila menggunakan istilah saya. Walaupun kedengaran seperti kurang ajar tetapi sebenarnya kita akan merasa lebih dekat dengan Pencipta dengan pengguaan aku. Kita akan merasakan lebih menjadi diri sendiri di saat kita menadah tangan kepada-Nya. Terasa mudah mulut kita meminta, mengadu dan mengungkapkan bait-bait doa kepada-Nya. Kalau dalam akad nikah pun kita menggunakan istilah aku kan? Sebagai contoh, "Aku terima nikahnya si polan binti si polan". Mungkin pengguanaan istilah istilah aku lebih mesra untuk didengar dalam sesetengah perkara.

Akan tetapi, amat wajarlah kita membahasakan diri kita dengan istilah yang lebih sopan apabila bercakap dengan orang yang lebih tua daripada kita seperti saya, kita, orang ataupun nama sendiri. Itulah keunikan bangsa Melayu, sesungguhnya kita bangsa Melayu sangat kaya dengan budi bahasanya dan manis tutur bicaranya. Nilai hormat menghormati kepada yang lebih tua amat dekat dengan budaya orang Melayu dan nilai itu dipraktikkan melalui perbuatan mahupun tutur katanya, itulah cara dan adat kita sebagai orang Melayu bak kata pepatah "biar mati anak jangan mati adat". Asalkan tidak sampai melanggar batas-batas hukum agama sudahlah. Bangsa Melayu sangat mementingkan adat budaya dan kesantunan bahasanya, teringat saya terhadap lirik lagu kumpulan Ahli Fiqir yang berbunyi:

Kalau Melayu dia seloka,
Kalau Melayu dia bermadah,
Kalau Melayu manis bicara,
Kalau Melayu halus bahasa.


Lagu tersebut cukup untuk menggambarkan ciri-ciri yang ada dalam diri seorang Melayu. Cubalah dengar dan hayati lirik-liriknya.





Komen: Penggunaan istilah ‘aku’ untuk membahasakan diri kita kepada orang yang lebih tua adalah tidak sesuai digunakan dalam masyarakat kita orang Melayu. Kita sepatutnya menggunakan perkataan yang lebih sopan sebagai tanda kita menghormati mereka. Walaupun bagaimanapun, dalam berkawan saya merasakan penggunaan istilah aku tidak menjadi masalah kerana penggunaan istilah tersebut menjadikan kita lebih mengenali dia dan kita tidak akan merasa kekok untuk bercakap dengannya. Kita juga merasakan kita akan menjadi diri kita yang sebenar apabila berkawan dengannya. Akan tetapi bergantung pada keadaan, taraf dan sosio-budaya dalam masyarakat tersebut. Akhir kata, gunakanlah bahasa yang baik supaya kita tidak dipandang serong oleh masyarakat dan sesungguhnya setiap perkataan dalam bahasa yang dituturkan tersebut menggambarkan keperibadian kita.


Salam Perkenalan




Salam perkenalan buat semua...

Tanggal 26 September 2012, jam 9.25 minit malam bermulalah satu penjelajahan terhadap dunia alam maya yang saya rasakan cukup baharu iaitu dunia ‘blogging’. Jikalau mahu menunggang motosikal, ketika inilah enjin motosikal mula dihidupkan. Jikalau mahu menyambung pelajaran, waktu inilah kita mula untuk mencari buku-buku. Jikalau hendak belajar berjalan, masa inilah ibu bapa akan menunggu anaknya dengan jarak lebih kurang setengah meter sambil menyebut ‘taa tehh taa tehh mari sini anak papa’, bunyinya seakan tidak sabar pula untuk menjadi seorang bapa kan?hehe. Tetapi apa yang saya ingin katakan di sini bahawa setiap perkara yang berlaku di dunia ini pasti ada titik permulaannya dan saya mengharapkan dunia baharu yang diceburi ini menjadi nilai tokok tambah untuk saya lebih mengenali dunia maya yang serba canggih ini. 

Sebenarnya saya terjun dalam medan ini adalah kerana ingin memenuhi tugasan individu bagi kursus Sosiolinguistik (BML3073) yang diajar oleh Dr. Siti Saniah binti Abu Bakar di tempat pengajian saya iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tugasan ini memerlukan saya menghasilkan sebuah blog yang mengkaji tentang bahasa Melayu termasuklah loghat mahupun dialek yang digunakan dalam masyarakat kita pada hari ini. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pensyarah dan rakan-rakan yang mengajar saya cara-cara untuk membuat blog ini kerana pada awalnya saya sememangnya tidak tahu langsung untuk menghasilkan sebuah blog. Saya berharap blog ini dapat memberi maklumat dan input-input yang berguna kepada pembaca seterusnya menjadi wadah untuk kita berkongsi ilmu dan mencambah fikiran.

Untuk pengetahuan pembaca, saya menamakan blog ini sebagai ‘Lukisan Bahasa’ kerana saya berpendapat bahawa lukisan menggambarkan sesuatu yang dilukis secara halus dan mempunyai makna tersendiri yang diolah oleh pelukis. Lukisan juga boleh dilukis mengikut kemahuan seorang pelukis itu untuk mempelbagaikan corak lukisan itu.  Begitu juga dengan bahasa, bahasa itu sesuatu yang indah jika kita menghargai nilai-nilainya tanpa dicemari oleh unsur-unsur luar dan bahasa itu sememangnya mempunyai pelbagai variasi yang digunakan dalam masyarakat. Setiap perkataan melalui bahasa yang diungkapkan oleh manusia pasti mempunyai makna-makna yang tertentu menjadikan ia sesuatu yang unik untuk saya kaji di dalam blog ini. 

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog saya dan semoga kita berjumpa lagi pada catatan saya yang akan datang….