Wednesday, 26 September 2012

Salam Perkenalan




Salam perkenalan buat semua...

Tanggal 26 September 2012, jam 9.25 minit malam bermulalah satu penjelajahan terhadap dunia alam maya yang saya rasakan cukup baharu iaitu dunia ‘blogging’. Jikalau mahu menunggang motosikal, ketika inilah enjin motosikal mula dihidupkan. Jikalau mahu menyambung pelajaran, waktu inilah kita mula untuk mencari buku-buku. Jikalau hendak belajar berjalan, masa inilah ibu bapa akan menunggu anaknya dengan jarak lebih kurang setengah meter sambil menyebut ‘taa tehh taa tehh mari sini anak papa’, bunyinya seakan tidak sabar pula untuk menjadi seorang bapa kan?hehe. Tetapi apa yang saya ingin katakan di sini bahawa setiap perkara yang berlaku di dunia ini pasti ada titik permulaannya dan saya mengharapkan dunia baharu yang diceburi ini menjadi nilai tokok tambah untuk saya lebih mengenali dunia maya yang serba canggih ini. 

Sebenarnya saya terjun dalam medan ini adalah kerana ingin memenuhi tugasan individu bagi kursus Sosiolinguistik (BML3073) yang diajar oleh Dr. Siti Saniah binti Abu Bakar di tempat pengajian saya iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tugasan ini memerlukan saya menghasilkan sebuah blog yang mengkaji tentang bahasa Melayu termasuklah loghat mahupun dialek yang digunakan dalam masyarakat kita pada hari ini. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pensyarah dan rakan-rakan yang mengajar saya cara-cara untuk membuat blog ini kerana pada awalnya saya sememangnya tidak tahu langsung untuk menghasilkan sebuah blog. Saya berharap blog ini dapat memberi maklumat dan input-input yang berguna kepada pembaca seterusnya menjadi wadah untuk kita berkongsi ilmu dan mencambah fikiran.

Untuk pengetahuan pembaca, saya menamakan blog ini sebagai ‘Lukisan Bahasa’ kerana saya berpendapat bahawa lukisan menggambarkan sesuatu yang dilukis secara halus dan mempunyai makna tersendiri yang diolah oleh pelukis. Lukisan juga boleh dilukis mengikut kemahuan seorang pelukis itu untuk mempelbagaikan corak lukisan itu.  Begitu juga dengan bahasa, bahasa itu sesuatu yang indah jika kita menghargai nilai-nilainya tanpa dicemari oleh unsur-unsur luar dan bahasa itu sememangnya mempunyai pelbagai variasi yang digunakan dalam masyarakat. Setiap perkataan melalui bahasa yang diungkapkan oleh manusia pasti mempunyai makna-makna yang tertentu menjadikan ia sesuatu yang unik untuk saya kaji di dalam blog ini. 

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog saya dan semoga kita berjumpa lagi pada catatan saya yang akan datang….



No comments:

Post a Comment