Friday, 26 October 2012

Jejak 22 : Kata Pinjaman

Pada malam itu, saya dan kawan saya singgah ke sebuah restoran untuk makan malam. Tiba di restoran tersebut, kami terus duduk di meja makan dan datang pelayan untuk mengambil pesanan. Saya memesan air milo suam dan nasi goreng kampung manakala kawan say memesan teo-o panas dan kuetiau goreng. Apabila mendengar kawan saya menyebut perkataan kuetiau tom yam, saya terus terfikir adakah perkataan itu merupakan perkataan dalam bahasa Melayu asli. Selesai saja makan, kami terus pulang dan saya terus mencari asal usul perkataan kuetiau itu. Tangan saya terus menekan butang-butang ‘keyboard’ untuk mencari asal perkataan tersebut.


Rupa-rupanya perkataan kuetiau merupakan kata pinjaman daripada bahasa China. Bahasa Melayu menggunakan bahasa pinjaman untuk meluaskan dan memperkayakan lagi kosa kata dan istilah dalam bahasa Melayu. Antara contoh-contoh lain kata pinjaman ialah :


Kata Pinjaman dari Bahasa Arab:
-          Abad, abadi, abdi, adat, amal, awal, akhir 
-          Bakhil, baligh, batil, barakah. 
-          Kitab, kuliah, kursi, kertas, nisbah nafas

Kata pinjaman dari Bahasa Inggeris 
-          Atom, bank, diesel hotel (pengekalan huruf) 
-          Kriteria, vaksin, republik (penggantian huruf c menjadi k) 
-          Vakum, kontinum (pengguguran huruf uu menjadi u 
Kata pinjaman dari Bahasa China. 
-          Mihun, kailan, kuaci 
-          Ceongsam, gincu 
-          Teko, loteng, angpau

Jejak 21 : Bahasa Kiasan

Pagi itu, saya ke perpustakaan untuk mencari buku rujukan. Ketika sedang mencari buku, say terdengar perbualan di antara lelaki 1 dan lelaki 2.




Lelaki 1 : Buku yang aku nak cari tu takde la kat sini. Susah la macam gini, nak buat kerja pun susah sebab tak ada rujukan.

Lelaki 2 : kalau macam tu apa kata kau pinjam dengan Helmi. Dia ada buku yang kau nak tu.

Lelaki 1 : Helmi ? si tangkai jering tu jugak kau duk sebut - sebut.. kedekut nak mampus, tak nak la aku mintak dengan dia, sia-sia je.

Lelaki 2 : cuba la minta..

Lelaki 1 : ok la kalau macam tu, aku cuba mintak..

Perbualan antara mereka aa menyebut tentang istilah ‘tangkai jering’ yang bermaksud kedekut. Penggunaan istilah ini disebut sebagai simpulan yang termasuk dalam bahasa kiasan. Antara contoh-contoh lain ialah:

Abu Jahal – Orang yang sangat jahat.
Ada hati – Menaruh minat terhadap seseorang.
Bangkai bernyawa – Kurus kering dan tidak bernyawa.
Berbadan dua – Hamil
Cakar ayam – tulisan yang buruk
Hati batu – bersikap degil
Harga diri – maruah seseorang.
Ibu ayam – perempuan yang memperdagangkan perempuan lain.
Makan suap – menerima rasuah.
Mandi kerbau – Mandi tanpa membersihkan badan.
Tulang belakang – Orang kuat dalam sesebuah organisasi.


Jejak 20 : Bahasa Halus

Petang itu semasa di kelas, saya mendengar perbualan antara 2 orang rakan kelas:

Si A : Eh, kau ade nampak Din tak? Kenapa dia tak datang kelas?

Si B : Din balik kampung. Saudara dia 'mati'.

Begitulah sedikit sebanyak perbualan yang sempat saya dengar. Perkataan 'mati' dalam perbualan nampak seperti tidak sopan kerana digunakan terhadap manusia walaupun penggunaan istilah sedemikian tidaklah salah. Seharusnya, Si B menggunakan bahasa halus dengan menggantikan perkataan 'mati' kepada 'meninggal dunia'.

Bahasa halus merupakan satu bahasa yang sopan untuk menutup bahasa yang mempunyai makna yang negatif. Bahasa halus wujud kerana pertimbangan terhadap orang yang dilawan bertutur. Kedudukan, pangkat, umur dan keakraban orang yang dilawan bertutur mempengaruhi pemilihan perkataan dan kata ganti nama. Bahasa halus juga digunakan dalam pertuturan serta surat-menyurat apabila kata-kata sopan digunakan. Bahasa kiasan dan peribahasa digunakan dengan meluas untuk menyatakan sesuatu secara halus. Antara contoh perkataan halus:


Mati – Meninggal dunia

Betina – perempuan

Jantan – lelaki

Berak – membuang air besar

Kencing – Membuang air kecil.

Tahi – najis

Jejak 19 : Kata Ganti Nama Diri Pertama mengikut Dialek



Hari itu, saya telah menonton sebuah filem melayu yang bertajuk 'Hantu Kak Limah Balik Rumah'. Dalam cerita itu, saya tertarik dengan watak Usop Wilca yang menggunakan bahasa pekat Perak dan dia membahasakan dirinya sebagai 'awok' dalam cerita tersebut.


Telah wujud percanggahan makna dalam fikiran saya ketika itu kerana saya beranggapan bahawa perkataan 'awok' yang digunakan bermaksud 'awak'. Saya bertanyakan kawan saya yang berasal daripada Perak mengenai perkara itu dan dia menjelaskan bahawa istilah 'awok' tersebut merujuk kepada kata ganti diri pertama dalam dielek Perak. Saya menjadi terpanggil untuk menyenaraikan penggunaan kata nama diri mengikut negeri.

Panggilan Kata Nama Ganti Diri Pertama mengikut Dialek Negeri:

Kata Ganti Diri Pertama:

Terengganu – ambe
Kelantan – Kawe, ambo
Pahang – koi
Perak – awok, teman
Negeri Sembilan – Den
Sarawak - kitak


Jejak 18 : 'di' atau 'dekat'



Semasa saya mencari-cari bahan di laman sesawang, saya tertarik untuk membaca sebuah artikel yang membicarakan tentang fungsi perkataan ‘di’ atau ‘dekat’. Bagi pembaca, antara perkataan manakah yang betul jika digunakan dalam perbualan seharian sama ada formal mahupun tidak formal.

Perkataan ‘dekat’ biasanya digunakan dalam percakapan seharian kita dan ia disebut sebagai bahasa lisan. Sebagai contoh : 'Saya meletakkan kereta dekat padang'. Perkataan ‘dekat’ mengikut konteks masyarakat bahawa kereta itu terletak berdekatan padang dan tidak dapat diklasifikasikan kereta tersebut terletak di sebelah padang, tengah pasang mahupun luar padang. Dalam situasi formal, percakapan tersebut adalah salah dan percakapan yang sebetulnya ialah “Saya meletakkan kereta di padang”. Perkataan ‘di’ biasanya digunakan dalam situasi formal dan perkataan ini menimbulkan rasa kekok apabila digunakan dalam percakapan seharian.

Komen : Sebagai bakal guru Bahasa Melayu, saya berharap saya dapat menggunakan bahasa Melayu tinggi dengan betul dan menggelak daripada menggunakan bahasa lisan dalam situasi formal.