Bagi catatan pada kali ini, saya ingin memberi sedikit info
mengenai panggilan dan pangkat yang digunakan dalam keluarga. Idea untuk
menulis mengenai entri ini terhasil apabila kelas Sosiolinguistik yang saya
hadiri membincangkan tentang perbezaan panggilan dan pangkat dalam keluarga
mengikut negeri masing-masing. Dalam
catatan ini, saya memberi fokus terhadap panggilan dalam keluarga bagi
rakyat-rakyat negeri Terengganu.
Panggilan dan pangkat bagi negeri Terengganu :
Di Terengganu, panggilan terhadap keluarga sedikit berbeza
dengan negeri-negeri lain. Sebagai contoh negeri Kedah misalnya memanggil Bapa
Saudara yang pertama sebagai ‘Pak Long’. Akan tetapi di Terengganu, anak-anak
saudara akan memanggil dengan panggilan ‘Ayoh Long’ bagi lelaki yang sudah
berkahwin, Mok Long bagi mak saudara perempuan yang telah berkahwin dan
panggilan cik bagi yang belum berkahwin. Perkataan ‘Ayoh’ bermaksud ayah yang
menggantikan perkataan ‘Pak’ dan ‘Mok’ menggantikan
perkataan ‘mak’.
1. Ayoh we/ayoh long/mok we/ mok long – Merupakan panggilan
kepada ahli keluarga yang paling tua/sulung dalam keluarga.
2. Ayoh Ngoh/ Mok Ngoh – Panggilan untuk anak yang kedua
3. Ayoh De/Mok de – Kebiasaannya gelaran kepada anak yang
ketiga. Perkataan ‘de’ merupakan singkatan daripada perkataan muda. Yang muda
bukannya bongsu dalam keluarga. Boleh juga dikatakan sebagai anak yang tengah.
4. Ayoh Téh dan Mok Téh - merupakan pangkat selepas Tengah, kemungkinan adik-beradik
yang ketiga atau keempat.
5. Ayoh Tang - adalah pangkat mungkin adik yang kedua sebelum
bongsu. ( Tang - ada negeri lain di Malaysia memanggilnya Tam, Pak Tam).
6. Ayoh Cik - adalah pangkat mungkin adik pertama sebelum bongsu.
7. Ayoh Su dan Mok Su/Cik Su - adalah adik yang bongsu. Bagi
gelaran Cik dan Su, ada juga dalam keluarga bagi anak yang bongsu tidak digelar
Su, tapi menggunakan gelaran Cik, singkatan kepada kecik/kecil.
Panggilan pangkat di dalam satu keluarga adalah berbeza dengan satu keluarga
yang lain sama ada mengikut negeri atau kenalan kita sendiri mahupun dalam
keluarga mentua kita. Ia adalah subjektif dan tertakluk kepada penggunaan rasmi
dalam keluarga itu sendiri.
No comments:
Post a Comment